Pesanan al-Habib Muhammad bin 'Alawi al-Maliki al-Hasani



“ Aku mahu menyampaikan ucapanku kepada para hadirin dalam kalangan penuntut ilmu; pelajar-pelajar maa’had dan sekolah-sekolah agama yang datang pada malam yang penuh berkat ini dengan pesananku kepada mereka :

“ Berpegang teguhlah dengan ilmu dan pelajarilah agama yang shahih. Ambillah ilmu dari para ulama’ yang alim lagi faqih. Jangan kamu bazirkan masa kamu yang berharga kerana penuntut ilmu adalah sehebat-hebat tentera yang akan mempertahankan agama Islam . Setiap orang yang dipenuhi dengan ilmu dan kefahaman, maka sesungguhnya ianya akan membawa dan memimpinnya ke arah kebaikan. Ilmu dan kefahaman ini pasti akan menjadi sesuatu yang paling bermanfaat. Tidak cukup sekadar mempelajari dari ringkasan-ringkasan. Sekarang banyak dari tempat-tempat pengajian dan sekolah-sekolah yang hanya membaca wirid-wirid kecil dan mengadakan kelas-kelas yang kecil sahaja. ‘ Tidak mampu menggemukkan dan mengenyangkan dari kelaparan’. Ini tidak mencukupi. Kamu mestilah sentiasa melazimi para ulama’ dan mempelajari dari mereka fiqh, usul, hadis dan lain-lain dari bidang ilmu Islam”.

“ Wajib ke atas penuntut ilmu supaya tidak berpada dengan yang sedikit dalam menuntut ilmu. Hendaklah di mengorbankan segala kehidupannya untuk ilmu sebagaimana yang dikatakan oleh sebahagian hukama’; “ Sekiranya kamu menyerahkan keseluruhan dirimu untuk ilmu, nescaya ilmu akan memberi sebahagian darinya untukmu. Sekiranya kamu menyerahkan sebahagian sahaja dirimu untuk ilmu, ilmu tidak akan memberi sedikitpun darinya untukmu”.

“ Manusia itu perlu mengorbankan segalanya dalam proses menuntut ilmu dan bersungguh-sungguh untuk memperolehinya. Ilmu adalah keutamaan. Maka sesungguhnya, mestilah bagi mereka supaya sentiasa berusaha sedaya upaya dan meminta supaya ditambahkan ilmu yang sedia ada. Allah Taala telah berfirman dalam al-Quran ketika bercakap dengan habibuhu al-Mustafa wa Nabiyyuhu al-Mujtaba Sollallahu’alaihiwasallam; “ Dan katakanlah: Wahai Tuhan, tambahkan kepadaku ilmu”. Tidak diajar kepada Baginda Sollallahu’alaihiwasallam supaya meminta untuk ditambahkan harta, anak, minuman,makanan,kesihatan. Sesunggunya yang diajar hanyalah satu; “ Katakanlah: Wahai Tuhan tambahkanku ilmu” !!!. Jangan kamu meminta menambah pada sesuatu pun melainkan pada ilmu kerana ilmu adalah asas segala kebaikan”.

“ Aku telah melihat para penuntut ilmu seperti di Makkah dan Madinah mereka tidak berpada dengan apa yang dipelajari di maahad, sekolah dan universiti. Mereka tetap belajar di situ, tetapi selepas itu mereka akan meluangkan sepenuh masa bersama ulama’ di masjid. Ianya berlaku sejak dahulu lagi dan kita semua dapat saksikannya”.

“ Dan kalimah terakhirku untuk semua orang awam; iaitu aku mengatakan bahawa saudara-saudaraku di Malaysia, alhamdulillah bumi Malaysia adalah bumi yang baik. Maksudnya: hati masyarakatnya sentiasa bersedia untuk menerima seruan ke arah kebaikan. Akan tetapi, wahai saudara-saudaraku, ini bukan bermakna kita boleh menerima semua seruan dari setiap pendakwah kerana orang yang berdakwah ke arah keburukan itu juga ramai sebagaimana hadis menyebut bahawa syaitan mempunyai konco-konco yang menyeru ke arah pintu kejahatan”.

“ Oleh yang demikian hendaklah kamu semua – wahai saudaraku-saudaraku - supaya berhati-hati dan meneliti dari siapa kamu mengambil ilmu, dari siapa kamu meminta fatwa dan dengan siapa yang sentiasa kamu melazimi ilmu dari mereka. Bukan semua yang nampak berpakaian ulama’ itu banyak ilmunya. Tidak!!! Bukan semua yang nampak berpakaian biasa itu jahil. Ianya bukan diukur dari rupa bentuk semata-mata, tetapi diukur dari apa yang dibawanya jelas dan benar sebagaimana apayang dibawa oleh Rasulullullah Sollallahu’alaihiwasallam. Ini merupakan asasnya. Kamu semua hendaklah berjaga-jaga dari siapa yang kamu ambil ilmunya; samada dia merupakan ahli ilmu, ahli fiqh, ahli agama, ahli takwa ataupun mereka adalah pendakwah yang jahat, ahli yang membawa keburukan dan para zanadiqah. Ramai dalam kalangan kita dengan sangka baiknya menyebabkan dia terjatuh dalam keburukan”.

“ Dan bersungguh-sungguhlah wahai saudaraku untuk membantu sekolah-sekolah agama, menyokong dan mendokongnya samada dengan harta, kalam dan segalanya. Begitu juga kamu perlulah bersungguh-sungguh membantumajlis-majlis ilmu yang diadakan di rumah-rumah kerana padanya terserlah kebaikan yang sangat besar tanpa sebarang keraguan. ”

; -Al-Habib an-Nasib as-Syeikh Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani, Shah Alam, Malaysia, 31 Dec 2002.

by; Pesanan al-Habib Muhammad bin 'Alawi al-Maliki al-Hasani
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template