PERANAN PELAJAR Oleh – Al-Maududi bhg-2

memindahkan perbendaharaan tamadun pada
generasi akan datang


Sesungguhnya bumi yang saudara-saudara hidup di atasnya ini telah pun diteroka oleh orang-orang yang terdahulu dari saudara supaya tamadun Islam dapat bertapak di atasnya, supaya dikuatkuasakan pelaksanaan peraturan-peraturan hidup yang mereka anuti dan supaya diperintah oleh undang-undang yang dianggap benar dan peraturan-peraturan sistem kerja yang mereka fikirkan baik.

Perlu kita ingat bahawa kekalnya generasi Islam adalah bergantung penuh di atas usaha generasi yang akan datang untuk memindahkan tamadun Islam dalam bentuk hidayah ketuhanannya yang kita warisi dari nenek moyang kita yang mulia dan yang telah membezakan kita dari bangsa-bangsa lain di dunia.

Sudah pasti bahawa setiap orang Islam tidak akan kekal, tetapi umat Islam boleh kekal sepanjang masa, dengan syarat ada kemampuan yang diperlukan dalam setiap peringkat masa untuk memindahkan perbendaharaan tamadun kepada generasi yang akan datang. Pemindahan ini hendaklah sentiasa berjalan dalam setiap pertukaran generasi.

Sekiranya kita tidak sanggup mengekalkan sifat-sifat istimewa tamadun yang membezakan umat kita itu, dan generasi muda kita pula tercekup dengan tamadun asing, katakan tamadun Amerika umpamanya, lalu terpengaruh dengannya dan terbentuk dengan acuannya tidak lagi dengan acuan tamadun Islam, maka lambat laun bumi ini akan bertukar menjadi bumi Amerika.

Ya, generasi Islam akan tinggal di bumi itu, tetapi ianya dibentuk dengan acuan Amerika yang menandakan tamadun Islam tidak lagi kekal di atas bumi yang dikhususkan untuk umat Islam. Itulah yang menandakan kekalnya tamadun lain yang menghapuskan identiti kebangsaan kita atau dengan lebih tepat identiti keislaman kita.

Maka hendaklah saudara-saudara mengamati kedudukan masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar ini dan memahami bagaimana penting peranan masalah ini dalam sejarah. Masalah ini tidaklah merupakan masalah pelajaran semata-mata, bahkan ianya juga menjadi masalah yang mempunyai hubungan langsung dengan adanya identiti Islam dan juga dianggap menjadi masalah hidup mati identiti itu secaia terus menerus.

Hidup kita tidak akan kekal sebagai satu umat Islam melainkan apabila kekalnya anak-anak muda kita yang sedang melalui peringkat pembentukan dan persediaan di pusat-pusat pengajian dan pendidikan. Kekal dalam erti berpegang teguh dengan tamadun Islam, mengibarkan benderanya serta menyeru kepadanya.


Dua cara untuk memindahkan perbendaharaan tamadun.

Tujuan ini tidak akan terlaksana melainkan dengan dua jalan.

Jalan pertama: Pelajar-pelajar sendiri hendaklah bergerak melaksanakannya.

Jalan kedua: Pemerintah hendaklah merangka polisi pelajaran dan pendidikan yang boleh mencapai kepada tujuan ini. Sekarang saya terangkan secara ringkas berhubung dengan kedua-kedua cara tersehut.


Jalan yang khusus bagi pelajar

Pelajar-pelajar yang sedang berada di universiti-universiti dan fakultifakulti tentulah sudah besar, matang, mempunyai kesedaran dan boleh membezakan di antara buruk dan baik. Begitu juga pelajaran yang diterimanya membolehkan mereka mengetahui identiti mereka jika mereka mahu dan juga membolehkan mereka maju ke hadapan jika mereka bergerak.

Segala kerumitan dalam hal ini bukanlah menjadi beban kerajaan sematamata, bahkan menjadi tanggungjawab pelajar-pelajar juga. Pelajar-pelajar adalah muda-muda belaka. Mereka hendaklah menyedari secara sungguh-sungguh bahawa mereka adalah orang Islam yang dijemput untuk hidup di atas muka bumi ini dengan cara hidup yang bercorak Islam. Hal ini memastikan diri mereka bersemarak dengan api cinta untuk mengetahui apakah sistem yang menjamin hidup mati mereka dan apakah sifat-sifat nyata yang membezakan umat Islam, iaitu sifat-sifat yang mesti ada untuk hidup mati identiti Islam.


Prinsip-prinsip utama islam

Hakikat Islam dan prinsipnya ialah akidah tauhid, kerasulan dan beriman dengan hari kiamat. Maka wajiblah bagi setiap orang Islam mengetahui asas yang tiga ini. Patut juga ia mengetahui bahawa prinsip-prinsip ini apabila diresapi oleh perasaan syak atau apabila ia lemah maka ianya tidak boleh hidup lagi di dunia ini di bawah lindungan tamadun Islam.

Apa saja bentuk syak dan kelemahan yang menembusi akidah-akidah ini dan asas-asas hakikat Islam, ianya akan memupuskan tamadun Islam hingga ke akar umbinya. Sesudah itu bumi ini bukan lagi bumi Islam jika sekiranya tamadun Islam tidak ada di situ. Begitu juga tamadun Islam tidak akan kekal di dunia ini jika tidak diteraskan atau disokong oleh tiga prinsip tersebut.


Pentingnya pemusatan kuasa ke arah mengawasi prinsip-prinsip itu

Sesungguhnya apa yang patut diberi perhatian yang lebih berat dari yang lain ialah bahawa pelajar-pelajar yang mempunyai kesedaran keislaman hendaklah bangun menentang segala gerakan anti Tuhan dan fahaman kebendaan yang bergerak untuk mengabui atau meragu-ragukan akidah Islam serta melemahkan orang yang beriman kepadanya. Dengan itu mereka tidak akan menentang segala gerakan yang bertujuan menghapuskan akidah-akidah ini dan menghalangnya dari bertapak di kalangan mereka.

Pelajar-pelajar harus menentang gerakan tersebut dengan apa cara sekalipun demi menjaga hidup mati identiti Islam di muka bumi ini. Perlu diketahui bahawa orang yang menimbulkan keraguan ke dalam fikiran orang ramai tentang akidah di bumi Islam ini, maka dia bukan saja melakukan dosa kufur atau murtad, bahkan ia telah melakukan pengkhianatan yang maha dashyat terhadap hak bumi Islam dan juga ia berniat mencabutnya hingga ke akar umbinya.

Ini adalah satu hakikat yang mesti disematkan di hati saudara-saudara semua. Jika ada di antara saudara-saudara yang mencuaikan perkara ini maka hendaklah beri peringatan akibat-akibat masa akan datang. Dengan demikian tidaklah dibiarkan fikiran-fikiran yang merosakkan dan prinsip-prinsip anti Tuhan itu tumbuh subur di pusat-pusat pengajian tinggi, di universiti-universiti atau di sekolah-sekolah dalam negara-negara Islam. Dengan demikian juga dapatlah dielakkan dari tersebarnya falsafah-falsafah yang merosakkan prinsip asasi Islam dan yang mengkaburkannya yang sudah tentu membuahkan hasilhasilnya yang tidak diingini.


Pentingnya berpegang dengap akhlak Islam dan tamadunnya

Perkara kedua yang wajib diberi perhatian oleh saudara-saudara kita pelajar-pelajar muda ialah mereka patut menyedari bahawa perjuangan hidup mati kita bukan saja bergantung kepada akidah Islam, bahkan bergantung juga kepada akhlak dan nilai-nilai Islam, kerana adanya hubungan yang rapat antara akidah dan akhlak, bahkan wujudnya salah satu darinya memestikan adanya yang satu lagi. Sesungguhnya akidah Islamlah yang memestikan kita berpegang dengan akhlak dan nilai-nilai yang tertentu.

Apa yang dapat dilihat sejak zaman berzaman bahawa pusat-pusat pengajian tinggi kita telah melalaikan asuhan akhlak di kalangan pelajar-pelajar. Bahkan yang lebih teruk lagi ialah pusat-pusat pengajian tinggi itu telah bersungguh-sungguh menabur benih-benih pengetahuan yang bertentangan dengan nilai Islam serta bercanggah dengan segala prinsip akhlak Islam. Patutlah kita ingat bahawa akhlak dan nilai-nilai yang menjadi teras kebangkitan umat barat tidaklah dapat kita jadikan asas kebangkitan kita, bahkan kita tidak dapat bangun, maju dan berkuasa melainkan setelah kita menerima prinsip-prinsip akhlak yang telah disediakan kepada kita oleh Islam, Allah dan rasulnya.

Orang barat boleh berkorban dengan diri dan hartanya untuk mempertahankan tanahairnya dengan keadaan ia hidup sebagai seorang gila, menari dan mabuk arak serta melakukan segala perkara kejahatan dan keruntuhan akhlak, kerana falsafah kebendaan yang menjadi pegangan mereka tidak menegah itu semua. Tetapi orang Islam mengetahui bahawa semua perkara tersebut dilarang oleh Allah dan rasulnya tidaklah boleh mengikuti cara hidup sebegitu dan tidak boleh memilih kebudayaan bentuk sedemikian kecuali setelah mereka berpaling tadah dari asas-asas pelajaran Islam.

Sesungguhnya disisi orang barat, apabila mereka melakukan perkara-perkara tersebut, tidaklah bertentangan dengan prinsip-prinsip akhlak dan nilai-nilai tamadun mereka, tetapi bagi orang Islam, dengan melakukan dosa-dosa itu, ia telah meruntuhkan prinsip-prinsip yang menjadi landasan akhlak dan nilainilai kita.

Kedudukan orang Islam jika ia minum arak adalah berlainan sekali daripada kedudukan orang barat. Soal bahaya akibat arak kepada tubuh dan jiwa manusia adalah sama, tidak kira samada ia Islam atau kafir. Oleh kerana arak tidak haram di sisi ugama kafir, maka apabila orang kafir meminumnya, ia hanya merosakkan tubuh dan jiwanya saja. Adapun akidah dan ugamanya tidak terlibat.

Hal ini berlainan sekali dengan keadaan orang Islam. Orang Islam tidak akan melakukan kejahatan itu melainkan apabila jiwanya sudah dirasuk oleh perasaan memberontak terhadap Allah dan Rasulnya serta oleh perasaan tidak memperhitungkan lagi hari yang akan ditimbang segala kebaikan dan kejahatan.Sesudah itu ia tidak akan memadai melakukan satu dosa, bahkan akan melampaui kepada dosa-dosa lain dan akan mempersetankan segala ikatan dan kewajipan-kewajipan akhlak, hingga pada satu hari kelak tidak ada lagi perkara dalam Islam yang patut dihormati dan dimuliakan dan semuanya dihinakannya.


bersambung.......................

baca seterusnya di sini ;-

PERANAN PELAJAR Oleh – Al-Maududi bhg-1
PERANAN PELAJAR Oleh – Al-Maududi bhg-2
PERANAN PELAJAR Oleh – Al-Maududi bhg-3
PERANAN PELAJAR Oleh – Al-Maududi bhg-4
PERANAN PELAJAR Oleh – Al-Maududi bhg-5
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template