PERANAN PELAJAR Oleh – Al-Maududi bhg-3

Sejauh mana bahaya tamaddun bukan Islam dalam
masyarakat Islam


Dari itu saudara-saudara patut menyedari bahawa apabila tamadun bukan Islam itu meresapi di kalangan umat Islam maka bahaya dan kecelakaannya akan lebih hebat lagi sekiranya ia meresap dikalangan umat bukan Islam, kerana kesan buruk yang lahir pada umat-umat bukan Islam adalah sama seperti kesan yang menimpa bagi orang-orang lain juga, seperti kesan buruk dari orang yang minum arak atau melakukan sesuatu perbuatan yang buruk.

Adapun kita orang-orang Islam, apabila kita melaku dan menuruti tamadun sundal itu maka ia melibatkan akidah dan prinsip-prinsip iman, menggoyang asas-asasnya, juga melemahkan dasar-dasarnya di hati kita, serta menimbulkan bibit memberontak terhadap Allah dan Rasulnya dan mungkin menyebabkan keluar dari Ugamanya.

Apabila sebab-sebab buruk ini timbul maka kita tidak boleh lagi tetap mentaati sesuatu peraturan di dunia ini, kerana orang yang patut kita taati dan menyerahkan diri kita kepadanya telah pun kita tentangi dia dan kita abaikannya. Dengan sebab inilah juga apabila seorang Islam itu mula mengingkari hukum-hukum Islam ia tidak akan memadai dengan sekali dua, bahkan ia akan terus tergelincir dan mengingkarinya secara berterusan hingga tidak ada lagi perasaan tanggungjawab tersemat di hatinya dan tidak lagi menghormati apa jenis undang-undang. Ketika itu keruntuhan akhlaknya tidak terbatas lagi.

Saudara-saudara juga harus meneliti bahawa apabila seorang Islam yang percaya kepada Allah, kepada Rasul dan kepada al-Quran, kemudian ia melakukan perbualan yang ia tahu bahawa Allah menegah ia melakukan demikian dan Rasul pula mencacinya serta al-Quran telah mengharamkannya juga telah menjanjikan azab kepadanya pada hari kiamat, maka apa lagi sesudah ini yang boleh dikatakan bahawa ia menghormati nilai-nilai akhlak serta menyanjungnya? Tidak ada lagi yang boleh memaksanya supaya ia patuh kepada undang-undang yang dibuat oleh lembaga perundangan yang ia tidak bertuhan kepadanya? Dan manalah ia akan mengorbankan diri dan kepentingan dirinya demi maslahat bangsa dan tanahair yang ia fikir tidak mesti disembahnya? Dan oleh kerana ia telah biasa menceroboh kehormatan syariat Tuhan yang mulia dan perbuatan melanggar undang-undang itu telah menjadi tagehannya serta memberontak terhadap undang-undang yang suci di sisi akidahnya, maka perbuatan menentang undang-undang itu sudah menjadi kebiasaannya. Oleh itu tidaklah dapat diharapkan darinya lagi untuk mentaati sesuatu undang-undang pun dalam segala aspek hidup. Orang seperti ini tidak layak menjadi anggota dalam masyarakat yang bertamadun, apa lagi menjadi anggota dalam masyarakat Islam.


Dosa mereka yang menyebar kebudayaan sundal di kalangan
pemuda Islam


Apabila manusia faham hakikat yang nyata ini serta tahu benar-benar sifat-sifatnya, maka mestilah ia menyedari betapa dahsyatnya kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang yang menjadikan pemuda-pemuda kita di pusatpusat pengajian tinggi itu sebagai orang-orang yang mewah lalu ditanamkan perasaan suka menari, bergembira, melucah dan mempermain-mainkan nilainilai ugama, di samping ditaburkannya pula kebudayaan sundal, disogokkan pula wanita-wanita jelita hingga mereka mati dalam pelukan wanita-wanita itu dan disebarkan pula penyakit menodai nilai-nilai akhlak Islam. Alangkah dahsyatnya pengkhianatan mereka!

Oleh yang demikian wajiblah bagi pelajar kita menyedari akibat-akibat perbuatan ini. Sekiranya pihak-pihak yang berkuasa terjerumus ke lembah kesalahan ini kerana kejahilan dan kebodohan mereka, maka pelajar-pelajar wajiblah menjauhinya seberapa yang dapat. Dia samping itu mereka juga hendaklah membentuk satu pendapat dan kesedaran yang menyeluruh untuk
menjauhkan mereka daripada menjadi mangsa kebudayaan sundal itu dan untuk menghapuskannya.


Di sini kita harus bertanya sesama kita: Jika timbul di kalangan pelajar-pelajar sendiri perasaan ingin menentang kebudayaan tersebut, maka dimanakah lagi kekuatan yang dapat meluluskan tamadun tidak bertuhan dan kebudayaan kuning itu masuk ke pusat-pusat pengajian tinggi dengan cara paksa?

Memang sudah tidak boleh dinafikan lagi bahawa sekiranya saudara-saudara sendiri sudah tidak suka menari misalnya, maka sudah tentulah tidak ada kuasa lagi yang dapat memaksa saudara-saudara untuk menari.

Memanglah ada di sana galakan dan godaan syaitan yang menggalakkan manusia supaya melakukan perkara-perkara mungkar dan merosakkan adat-adat, nilai,perasaan dan kecenderungan mereka. Tapi apabila pelajar-pelajar sendiri menyedari bahawa kebudayaan sundal ini merupakan penyakit kronik yang akan meresap ke dalam diri mereka, maka sudah tentulah mereka boleh menjauhinya dan menentang gerakan cuba memasukkannya ke pusat-pusat pengajian tinggi. Saya ingin agar ada suatu usaha ditumpukan ke arah memupuk kesedaran di kalangan pelajar untuk menentang perkara-perkara mungkar tersebut.

Inilah dua dari beberapa perkara yang bersangkut paut dengan pelajar-pelajar sendiri. Jika mereka amalkan kedua-duanya maka dapatlah mereka menghapuskan segala perkara mungkar yang bertaburan di pusat-pusat pengajian tinggi kita dan yang menyebabkan banyak berlaku kerosakan fikiran dan akhlak.

Sementara itu biarlah saya kaji sekarang dengan ringkas kewajipan-kewajipan dan tanggungjawab kerajaan dalam bidang ini.


Bahaya tersebarnya khianat dalam masyarakat

Sesungguhnya perkara pertama sekali yang harus difikirkan oleh kerajaan dengan cara mendalam ialah: Apakah sebab meluasnya perbuatan rasuah dan khianat, dan apakah dorongan-dorongan yang berada di belakangnya yang menyebabkan segala usaha untuk menghapuskannya sia-sia belaka?

Gejala ini sedang menyelubungi umat Islam pada masa ini dan menjadikan segala peraturan perundangan tidak berfaedah belaka, kerana undang-undang yang diciptakan untuk memperbaiki kerosakan itu hampir-hampir dipersia-siakan oleh badan-badan pelaksanaan sendiri. Bahkan setiap kewajipan yang lahir dari pihak pencipta undang-undang itu sendiri yang
membuka pintu baru bagi rasuah.

Perkara ini tidaklah terhenti setakat ini saja, bahkan dengan restu rasuah inilah penyeludup-penyeludup akan membawa keluar negeri barang-barang berharga dan menjualkannya kepada seteru-seteru. Bahkan mercka juga menyeludupkan keluar barang-barang yang sangat diperlukan dalam negeri.

Sebenarnya rasuah ini menguntungkan seteru-seteru kita. Saudara-saudara patut melangkah setapak lagi ke hadapan, kemudian hendaklah saudara-saudara berfikir:
Orang-orang yang mengamalkan penipuan terhadap saudara sebangsanya untuk mendapatkan seratus rupiah umpamanya, ia tidak akan merasa berat untuk menjual rahsia negara kepada seteru-seteru
apabila diupah dengan berpuluh-puluh ribu rupiah.


Apabila penyakit khianat dan menjual maruah dilakukan oleh beribu-ribu orang dalam sesuatu negeri maka erti mereka bersedia pula mengorbankan ugama, akidah, amanah dan tanahair mereka demi kepentingan diri mereka sendiri. Pada ketika itu anak-anak negeri yang biasa melakukan kerosakan secara profesional akan menggunakan mereka itu tadi untuk mencapai tujuan-tujuan mereka. Begitu juga seteru-seteru akan menjadikan mereka alat yang boleh menurut telunjuk untuk memusnahkan kewujudan umat Islam.

bersambung.......................


baca seterusnya di sini ;-

PERANAN PELAJAR Oleh – Al-Maududi bhg-1
PERANAN PELAJAR Oleh – Al-Maududi bhg-2
PERANAN PELAJAR Oleh – Al-Maududi bhg-3
PERANAN PELAJAR Oleh – Al-Maududi bhg-4
PERANAN PELAJAR Oleh – Al-Maududi bhg-5
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template