Punca-punca tersebarnya khianat
Saudara-saudara, fikirkanlah sejenak, apakah perkara yang menyebabkan berlakunya gejala yang tidak sihat ini? Adalah satu perkara yang nyata bahawa mereka yang melakukan gejala tidak sihat, seperti khianat, rasuah, menipu dan sebagainya itu ialah sekumpulan mereka yang terpelajar dari kalangan kita di negeri kita sendiri. Mereka itu orang-orang yang berkuasa dalam kerajaan.
Mereka bukanlah orang-orang kampung yang buta huruf. Mereka itu juga adalah keluaran dari pusat-pusat pengajian tinggi kita yang ada sekarang. Ini menunjukkan adanya kepincangan dalam sistem pelajaran kita, kerana ia menghasilkan sebilangan besar orang yang terkena
penyakit khianat dan rasuah.
Apabila kita amati sistem pelajaran ini dapatlah kita mengetahui bahawa kelemahan asasinya adalah disebabkan oleh asas-asas akidah, tamadun dan akhlak kita yang sepatutnya berdiri tegak secara berkekalan, tetapi sebaliknya ia lemah. Di sekelilingnya terdapat nilai-nilai yang mengelirukan dan galakan-galakan supaya orang ramai mengingkari akidah-akidah ini. Hanya sebilangan yang sedikit saja yang melalui sistem ini dikatakan terselamat tanpa bergoyang
keimanan di hati mereka.
Apa yang memaksa kita berfikir sesudah apa yang saya katakan itu ialah apabila akidah sebilangan besar kaum terpelajar menjadi lemah maka apakah lagi yang ada pada kita untuk menjadikan mereka itu pendokong prinsip-prinsip dan nilai akhlak?
Orang-orang yang tidak takut kepada Allah dan tidak gerun kepada azab hari kiamat, tidak ada apa-apa lagi yang boleh menghalangnya daripada menjadi pengkhianat, pembohong dan mempermudahkan tanggungjawab. Orang yang tidak percaya kepada kekuasaan yang lebih tinggi selain dari diri dan kepentingan sendiri, bagaimanakah saudara-saudara dapat meyakinkan hatinya supaya ia dapat mengorbankan kepentingan dirinya sendiri demi sesuatu kemuliaan? , kerana untuk sanggup berkorban dengan jiwa dan harta itu adalah sebahagian dari tunduk kepada kuasa yang tertinggi.
Bagi orang-orang Islam tidak ada tempat yang mesti dipatuhi melainkan kepada Allah, Rasulnya dan ugamanya. Apabila kita lemahkan perasaan patuh ini di hati manusia maka akan tumbuhlah perasaan mementingkan diri dan tidak akan ada lagi perasaan mahu mengorbankan sesuatu yang berharga dan mulia selain daripada untuk mencapai tujuan-tujuan peribadi mereka.
Kekuatan prinsip Islam dalam memperbaiki umat
Dengan hanya menyematkan sifat patuh tadi ke dalam hati mereka maka bolehlah saudara-saudara menjadikan mereka golongan orang yang melaksanakan keadilan, kebenaran dan menjadikan mereka menjauhi segala kerja yang haram di dunia dengan dorongan takwa kepada Allah dan dengan perasaan bertanggungjawab di hadapan Allah pada hari kiamat kelak, juga
menjadikan mereka golongan yang senang hati dalam memberikan segala pengorbanan yang mulia dengan dorongan patuh kepada Allah, Rasul dan ugamanya.
Sesungguhnya orang-orang bukan Islam itu mempunyai nilai-nilai yang berbeza dan tempat patuh yang berlainan yang dijadikan asas akhlak mereka. Jadi, misalnya jika saudara-saudara mahu menanamkan perasaan kasih kepada punca-punca patuh kepada yang lain daripada Allah, Rasul dan ugamanya di kalangan umat Islam, maka saudara-saudara memerlukan masa selama lima puluh tahun untuk menjayakan proses ini, iaitu untuk menukarkan umat Islam itu kepada yang bukan Islam. Dan saudara-saudara juga perlu kepada lima puluh tahun yang lain lagi jika saudara-saudara mahu menjadikan mereka satu bangsa barat yang sempurna. Sebelum tempoh ini, saudara-saudara tidak berupaya menanamkan di kalangan mereka akhlak kebangsaan yang saudara-saudara dapati dan gemari pada bangsa-bangsa barat.
Tetapi jika saudara-saudara mahu menegakkan pembentukan umat Islam ini di atas nilai-nilai akhlak Islam, maka saudara-saudara boleh memulakan untuk itu dari sekarang juga dan saudara-saudara akan berjaya dalam tempoh beberapa tahun saja, kerana akidah-akidah Islam yang tersimpul pada tauhid kerasulan dan percaya kepada hari akhirat itu telah pun diwarisi dari ibubapa mereka dan akidah-akidah pula telah menjadi darah daging dalam suasana
sekeliling masyarakat Islam dan tradisi kebangsaan orang-orang Islam.
Benih-benih akidah yang telah berakar umbi di bumi Islam sejak beberapa lama ini jika saudara-saudara siram dengan sedikit air pun nescaya akan tumbuh subur dan berbuah.
Sesungguhnya penjajah, sekali-kali tidak pernah mengambil berat tentang tamadun dan akhlak umat islam, bahkan mereka menganggap bahawa keadaan umat Islam yang ikhlas kepada Islam serta bersifat dengan akhlak Islam itu akan melahirkan bahaya kepada mereka. Oleh sebab itulah mereka telah mempraktikkan di negeri-negeri Islam yang dijajahinya sistem pelajaran dan pendidikan yang mempunyai keistimewaan menggoncangkan tapak iman di hati-hati kita.
Sistem itu juga mempunyai keistimewaan bagi menimbulkan kekaburan di sekitar akidah Islam, memperkecilkan tamadun dan menghina-hinakannya di hadapan mata kita. Perasaan tamak politik penjajahlah yang memaksa mereka memesongkan kita dari ugama Islam dengan sesungguh hati. Tetapi jika kita amalkan sistem pelajaran dan pendidikan penjajah sesudah kita bebas dari belenggu pengabdiannya dan sesudah kita sanggup berdikari, maka itu bererti kita bersungguh-sungguh mahu membunuh diri.
Guru-guru yang dicurigai merbahaya kepada Islam
Di pusat-pusat pengajian tinggi kita, terdapat sekumpulan guru-guru yang menabur benih-benih kekeliruan mengenai Islam di kalangan pelajar. Mereka sentiasa berusaha menerangkan kepada pelajar-pelajar bahawa ugama Islam itu tidak mempunyai tamadun, tidak mempunyai kemajuan, tidak mempunyai dasar-dasar politik dan ekonomi. Kalau pun ada, maka itu tidak
sesuai lagi dengan tuntutan masa sekarang.Mereka berkata bahawa undang-undang Islam itu sudah lapuk dan tidak sesuai lagi dengan zaman kemajuan sekarang.
Orang-orang Islam menurut mereka tidak pernah mencatit peristiwa kepahlawanan dalam lembaran sejarah. Pahlawan-pahlawan yang kita dengar selama ini adalah dari orang-orang yang bukan Islam. Jaguh-jaguh segala ilmu pengetahuan dan bermacam-macam kesenian dan sastera, juga pereka-pereka alat sains moden semuanya dari orang-orang yang bukan Islam.
Di sini sukalah saya berkata dengan terus terang bahawa guru-guru yang mengajar pelajaran-pelajaran seperti ini kepada pemuda-pemuda kita dan menuangkan fikiran-fikiran sempurna ini, mereka itu adalah pengkhianat bahkan mereka itulah pengkhianat dan seteru yang paling buruk kepada negeri-negeri Islam, kerana merekalah yang menghapuskan tamadun Islam atau dengan lain perkataan merekalah yang berusaha untuk menghancurkan negeri.
Alangkah buruknya nasib bangsa yang generasinya dididik oleh pengkhianat-pengkhianat seperti ini. Dan perkara yang lebih membahayakan hal ini, terdapat beberapa jabatan di pusat-pusat pengajian tinggi di setengah-setengah negeri Islam dikendalikan oleh mahaguru-mahaguru bangsa Amerika dan pakar-pakar pengajian timur. Paling malang lagi mereka ini mengendali jabatan-jabatan pendidikan dan ilmu kemasyarakatan. Mereka itu tidak silu-silu mencurahkan tenaga mereka untuk merosakkan generasi kita dalam hal-hal yang berkaitan dengan pendidikan dan kemasyarakatan. Tidakkah ini membunuh diri namanya?
bersambung.......................
baca seterusnya di sini ;-
PERANAN PELAJAR Oleh – Al-Maududi bhg-1
PERANAN PELAJAR Oleh – Al-Maududi bhg-2
PERANAN PELAJAR Oleh – Al-Maududi bhg-3
PERANAN PELAJAR Oleh – Al-Maududi bhg-4
PERANAN PELAJAR Oleh – Al-Maududi bhg-5