‘Baham’ 6 siswi

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my

BENTONG: Bermodalkan air liur ketika ‘mengayat’ melalui Internet selain menjanjikan kebahagiaan, seorang lelaki layak digelar ‘jurujual seks’ apabila menjadikan enam siswi sebuah kolej di Kuala Lumpur yang dikenalinya untuk ‘hidangan’ rakan bagi memeriahkan pesta seks serta arak anjurannya.

Difahamkan, lelaki hidung belang terbabit biasanya menyewa sebuah rumah atau pangsapuri sebelum enam pelajar institusi pengajian tinggi terbabit dipujuk mengadakan hubungan seks dengan rela hati ketika berada di bawah pengaruh alkohol.

Tanpa diduga, enam penuntut terbabit yang bagaikan hilang arah selepas diperdaya dengan madah cinta rakan lelaki berkenaan, termasuk dua daripada mereka kakitangan kerajaan, dengan rela hati mengikut kehendak pasangan masing-masing.

Difahamkan, enam penuntut kolej berusia 19 tahun itu tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pasangan, tetapi dengan rela hati berhibur sambil berpesta seks ketika khayal di bawah pengaruh alkohol.

Kumpulan terbabit akan bergerak dari satu negeri ke negeri lain dan menyewa pangsapuri untuk dijadikan markas pesta seks serta arak bersama pasangan masing-masing.

Setakat ini, mereka melakukan perbuatan terkutuk itu di Melaka, Negeri Sembilan, Selangor selain di ibu negara.

Kegiatan tidak bermoral itu didedahkan Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Rosli Abdul Rahman, (gambar) yang melancarkan serbuan di sebuah pangsapuri di pusat peranginan dekat sini, diketuai Pegawai Operasi, Cif Inspektor M Pirabaharan bersama sepasukan anggota, jam 3 pagi, baru-baru ini.

Hasil serbuan itu, polis menahan enam penuntut perempuan terbabit bersama enam lelaki berusia 20 hingga 22 tahun, ketika mereka sedang menaiki tangga menuju pangsapuri disewa.

Katanya, polis sudah membuat intipan sejak beberapa bulan lalu sebaik menerima maklumat orang awam dan menubuhkan pasukan khas untuk membuat risikan.

“Ketika serbuan, enam penuntut perempuan terbabit bersama pasangan masing-masing termasuk dua kakitangan kerajaan baru tiba di pangsapuri itu dan mereka tidak sempat memboloskan diri kerana dikepung.

“Siasatan awal mendapati, kumpulan terbabit bergiat aktif dalam kegiatan tidak bermoral itu sejak lebih setahun lalu,” katanya.

Katanya, hasil ujian saringan, tiga daripada kumpulan terbabit didapati positif ketamin selain memiliki 2.3 gram dadah itu serta 4.8 gram ganja, kini ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya Pindaan 1952; Seksyen 6 dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama.

Menurutnya, polis sudah mengambil keterangan keenam-enam penuntut terbabit serta memaklumkan kepada ahli keluarga masing-masing berhubung kegiatan tidak bermoral itu.

Rosli turut menasihatkan ibu bapa mengawasi pergerakan anak masing-masing yang tinggal berjauhan bagi mengelak terjerumus dalam aktiviti tidak sihat.


http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20091118082055/Article/index_html
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template