(EDISI INI TIDAK PENUH, SILA Klik di sini untuk muat turun edisi penuh)
Setelah 53 tahun merdeka negara kini berada dalam krisis. Cita-cita untuk membina sebuah bangsa yang bersatu padu dan negara yang makmur telah gagal.
Demokrasi dan hak asasi rakyat terus dinodai oleh pemerintah UMNO/BN. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa membarah. Kekayaan negara telah dibolot oleh segelintir elit berkuasa. UMNO/BN tidak mempedulikan rakyat terbanyak yang dihimpit oleh kos sara hidup yang tinggi. Pendapatan rakyat tidak meningkat kerana dikekang oleh pemerintah. Daya saing negara dan rakyat terhakis akibat dasar yang lemah, pelaksanaan yang tidak berkesan dan kebijakan (dasar) yang tidak berjiwa rakyat.
Krisis parah sebegini memerlukan tekad dan azam politik untuk diatasi. Malaysia memerlukan dasar-dasar baru dengan membuat anjakan paradigma. Maka, Pakatan Rakyat sebagai permuafakatan politik (tahalluf siyasi) mengangkat suatu rencana dasar dan kebijakan yang menyeluruh untuk membela rakyat melalui Dasar Bersama yang dimeterai.
Dasar Bersama adalah berlandaskan 4 kerangka asas iaitu:
1. Demokrasi yang telus dan tulen untuk memperkasakan ketuanan rakyat;
2. Memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mampan untuk menjana kemakmuran dan kebajikan kepada semua secara adil;
3. Keadilan sosial bagi menjamin pembangunan insan secara menyeluruh; dan
4. Hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara yang adil-setara.
Dasar Bersama ini menggariskan iltizam kami untuk mengalih hala tuju negara dan bangsa ke landasan yang betul setelah berdekad diruntun salah guna kuasa, rasuah dan politik perkauman.
Muafakat asas yang membentuk Dasar Bersama adalah ketulusan parti-parti Pakatan Rakyat meletakkan Perlembagaan Persekutuan sebagai kompas perjuangannya. Tiga perkara pertama yang diangkat dalam Dasar Bersama adalah komitmen Kami untuk:
1. Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.
2. Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja berperlembagaan.
3. Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum, serta meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris demi memperbaiki daya saing Malaysia di peringkat global.
Ketetapan Pakatan Rakyat mengangkat konsep muafakat di antara parti-partinya membentuk kesepakatan perjuangan di dalam Pakatan Rakyat, lantas memberi laluan kepada lahirnya sistem dua parti di negara ini. Sejarah besar yang dicipta dalam PRU12 perlu dimanfaatkan supaya tekad rakyat untuk menukar kerajaan persekutuan dan sistem pemerintahan yang bobrok dalam PRU13 berhasil. Tekad rakyat ini bukan sahaja mulia dan bersejarah, ia satu kemestian untuk menyelamatkan Malaysia dari krisis parah.
Agenda Pakatan ini adalah nadi kepada perjuangan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan pegangan untuk membina sebuah negara dan masyarakat yang menzahirkan semangat demokrasi dan keadilan dalam semua aspek. Agenda ini menuntut perubahan mutlak (minda, pendekatan dan kaedah) untuk menggembleng muafakat semua pihak. Ini perlu demi membebaskan institusi-institusi penting negara dari durjana campur tangan sebahagian kecil golongan elit yang mempertahankan tembolok mereka semata-mata.
Pakatan Rakyat juga meletakkan agenda pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama sebagai teras kepada kesemua program yang telah dilaksanakan dan sedang dirancang, demi membela nasib rakyat terbanyak.
Malaysia berdepan dengan prospek ekonomi yang pudar dan semakin ketinggalan berbanding dengan negara-negara serantau yang pernah setanding dengan kita. Tatkala Malaysia masih meraba-raba mencari penawar kepada kemunduran ekonomi ini, negara wajib waspada dengan saingan baru dari negara-negara yang sebelum ini lebih mundur dari kita. Darjat ekonomi kita di mata antarabangsa dan dalam konteks ekonomi global telah merudum.
Lebih parah lagi, pemerintah yang bongkak dan mementingkan diri mengabaikan penderitaan rakyat. Bantuan-bantuan kepada rakyat disekat atas nama mengurangkan beban kerajaan, sementara lohong ketirisan sengaja dibesarkan agar kekayaan negara dapat mereka bolot secara rakus.
Tindakbalas pemerintah juga adalah songsang dan tidak mencerminkan keikhlasan untuk mengembalikan daya saing negara. Rencana ekonomi baru yang dipersembahkan hambar kerana janji untuk membawa ‘transformasi
ekonomi’ bercanggah dengan tindakan semasa yang bertentangan dengan tuntutan reformasi.
Makanya, negara dan rakyat berdepan dengan ketakutan yang berlipat kali ganda. Amalan menunggang institusi-institusi negara demi menutup kelemahan sendiri dan menekan Pakatan Rakyat semakin berleluasa. Matlamat kuasa BN adalah untuk terus berkuasa, bukannya mencari kebijakan yang adil dan berkesan untuk membawa negara keluar dari kemelut ekonomi, politik dan sosial yang semakin menghimpit.
Malaysia perlu diubah sekarang. Perjalanannya dan masa depan rakyat di bawah pentadbiran persekutuan sedia ada adalah kabur. Jika perubahan tidak dilakukan sekarang, segala kerosakan bangsa dan negara akan berterusan. Malaysia akan bertukar dari status malap kepada gelap.
Harapan dan kepercayaan rakyat bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa yang berlandaskan prinsip keadilan dan permuafakatan perlu dikembalikan segera. Pakatan Rakyat yakin bahawa agenda perubahan yang dijunjung bersama akan meniupkan kembali roh keadilan dan permuafakatan dalam sistem negara dan masyarakat kita.
Agenda Pakatan ini menggariskan perincian dasar dan langkah yang berlandaskan Dasar Bersama untuk merealisasikan cita-cita Pakatan Rakyat membina sebuah negara yang makmur dan adil. Kami percaya kemakmuran negara hanya akan dicapai dan berkekalan jika ia ditunjangi oleh prinsip keadilan sosial dan persaudaraan rakyat. Hasrat ini akan mekar berkembang; bila mana semangat demokrasi meresap ke seluruh pentadbiran dan institusi-institusi negara.
Agenda Pakatan ini adalah penzahiran hasrat rakyat untuk melaksanakan islah masyarakat yang digariskan oleh Dasar Bersama. Ia adalah jendela yang paling luas untuk menggambarkan sebuah Malaysia yang makmur dan adil di bawah Pakatan Rakyat.
Bersama-sama kita berubah sekarang untuk menyelamatkan Malaysia. Ayuh kita bawa mesej perubahan ini ke seluruh pelusuk negara.
Y.B. Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Ketua Umum
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
Ketua Ahli Parlimen
Y.B. Lim Kit Siang
Parti Tindakan Demokratik (DAP)
Y.B. Dato’ Seri Hj. Abdul Hadi Awang
Presiden
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
(EDISI INI TIDAK PENUH, SILA Klik di sini untuk muat turun edisi penuh)